18 Mei 2010

Sakit oh sakit...

BERSABARLAH kerana tiada seorang manusia pun yang mampu menyembuhkan penyakit.

‘Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku;’ [As-Shuara, 26:80]

Pasti semua sudah tahu bahawa sakit itu merupakan satu ujian dari Allah. Adakah Allah menjadikan kita dengan sia-sia. Sepertimana kita belajar, pasti ada ujian yang bakal kita ambil. Ujian tersebut merupakan satu ‘indicator’ sejauh mana kita telah belajar. Begitu juga dengan ujian yang Allah timpakan. Sejauh manakah tahap keimanan kita. Allah ingin menguji tahap keimanan kita yang sebenarnya.
‘Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).’ [Al-Baqarah, 2:214]

Lebih tinggi tahap keimanan kita, lebh hebat kita diuji. Lihatlah sahaja ujian yang diturunkan kepada para Rasul. Jauh sekali jika ingin dibandingkan dengan ujian yang ditimpakan kepada orang awam seperti kita. Kita hanya perlu yakin bahawa pertolongan dari Allah itu adalah pasti tetapi sejauh manakah tahap kesabaran kita? Kadangkala kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Bukannya sengaja Allah menurunkan ujian kepada kita tetapi dengan bertujuan, bukan sahaja untuk menguji keimanan kita malahan untuk mengajar kita erti sabar; ‘Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab’ [ Az-Zumar, 39:10]. Bukan sahaja Allah menguji bahkan Allah juga mengajar malah memberikan kita ganjaran yang amat besar supaya kita terselamat di akhirat kelak.

Allah juga boleh mendatangkan ujian kepada hambanya sebagai satu qisas(pembalasan) ke atas dosa yang kita lakukan. Setiap dosa yang kita lakukan pasti akan dibalas sama ada di dunia ataupun di akhirat yang kekal abadi melainkan kita bertaubat sehingga Allah mengampunkan dosa tersebut. Kerana kasihnya Allah terhadap hambanya, Allah telah menghukum kita dengan mendatangkan kita kesakitan, kesusahan dan sebagainya. Selagi kita bersabar, ganjaran bakal menanti. Sebaliknya sekiranya kita mengeluh, hanya dosa yang menimbun. Begitulah kasihnya Allah Yang Maha Pengasih terhadap hambanya. Allah tidak mahu hambanya dihukum di akhirat yang berkali lebih dahsyat dari penderitaan di dunia. Dengan hukuman Allah di dunia kita sepatutnya sedar dan bersyukur terhadap nikmat yang telah Allah berikan kerana apabila kita kembali ke akhirat nanti kita bersih dari sebarang dosa.

Begitulah rasa kasih dan sayangnya Allah kepada hambanya. Bukan sengaja Allah menurunkan ujian terhadap hambanya, tetapi ujiannya di penuhi dengan 1001 hikmah yang dapat dirungkaikan.

Kepada mereka yang telah sakit, sedang sakit, mahupun pernah merasa kesakitan, ingatlah, sakit itu adalah satu ujian daripada Allah. Hebatnya ujian yang diturunkan oleh Allah menunjukkan betapa sayangnya Dia kepada kita.

Ujian bukannya untuk kita larikan diri, tetapi ujian adalah tarbiyah dari Allah, untuk kita lalui, kerana di sebalik ujian itu tersimpan sejuta hikmahnya.

Sakit itu tanda sayang Allah pada kita.

‘Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’ [At-Taubah, 9:91]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan